KESEDARAN & KEPENTINGAN KESIHATAN MENTAL

Pandemik COVID-19 yang melanda telah memberi impak yang besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia termasuklah rakyat Malaysia. Ramai yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan. Masalah ini terjadi apabila seseorang itu mengalami tekanan yang melampau serta tidak mendapat sokongan yang diperlukan dari keluarga dan sahabat untuk tempoh yang lama.

Setiap individu terdedah kepada masalah kesihatan berkaitan mental tanpa mengira usia dan jantina. Oleh itu, tingkatkan kesedaran dalam diri agar anda lebih bijak menanganinya jika ia berlaku kepada diri sendiri atau insan tersayang. Teruskan membaca untuk memahami isu kesihatan mental ini dengan lebih lanjut.

“Setiap individu terdedah kepada masalah kesihatan berkaitan mental tanpa mengira usia dan jantina.”

APAKAH KESIHATAN MENTAL?

Kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial anda. Ia mempengaruhi bagaimana anda berfikir, merasa dan bertindak. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental adalah “keadaan kesejahteraan di mana individu menyedari keupayaannya sendiri, dapat mengatasi tekanan normal kehidupan, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat serta mampu memberi sumbangan kepada komuniti”.

APAKAH PENYAKIT MENTAL?

Penyakit mental boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang agak ringan dan hanya menyebabkan kecelaruan yang terhad terhadap kehidupan seharian. Ada pula yang lebih berat sehingga memerlukan rawatan hospital dan rawatan perubatan. Semua ini terjadi kerana berlakunya perubahan dalam rutin kehidupan, gangguan pada pemikiran, emosi atau tingkah laku (atau mana-mana gabungan semua ini).

MENGAPA IA TERJADI DALAM KEHIDUPAN?

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan dan mengakibatkan seseorang itu mengalami penyakit mental, antaranya:

Tekanan kerja

Desakan kewangan

Perhubungan yang tidak sihat

Masalah kesihatan

Masalah peribadi & keluarga

Tekanan pembelajaran

Persekitaran yang stres

Trauma kejadian lampau

Faktor sosial

“Perbuatan melabel individu tersebut sebagai gila, tidak stabil, bahaya, ganas dan mengada-ngada boleh menyumbang kepada perkara yang lebih buruk.”

Bunuh Diri Bukan Solusi!